Showing posts with label Terkenang. Show all posts
Showing posts with label Terkenang. Show all posts

Sunday, April 13, 2014

COLEK PERUT

Tiba-tiba saja rasa nak makan colek perut. Jadi pagi-pagi lagi pi pasar untuk beli sekilo perut bulat, sedikit paru (pelempong), nenas, timun dan tauhu. Jadi malam tu, kami makan benda ni je.


Teringat masa dok asrama SIC dulu, waktu 'prep' petang ada sorang pakcik dengan kereta sorong selalu datang jual colek perut di tepi pagar asrama. Aku selalu beli colek perut pakcik ni. Sebungkus baru 50 sen. Sedap!!!

Tuesday, April 13, 2010

Kawat

Hari ini kami telah dibekalkan dengan boot kawat, angklet dan tali pinggang putih dan pada minggu depan bermulalah sesi kawat selama hampir 2 minggu. Memang lama betul tak kawat. Apabila lihat boot kawat ni, teringat aku semasa sedang belajar di ITM Cawangan Dungun pada tahun 1983-1986 dulu. Pada masa itu, aku telah terpilih untuk menjadi Komander Kesatria dan telah menjalani latihan kawat selama 2 minggu di bawah kelolaan jurulatih dari pihak tentera. Latihan tersebut agak 'tough' juga, tapi masa tu semangat muda dan tenaga masih kuat. Kalau sekarang ni tak tahulah. Selama 2 minggu di 'lanyak' oleh jurulatih, aku telah dianugerahkan dengan 'Anugerah Semangat Kesatria' dan kami telah ditauliahkan sebagai Komander Rendah Muda (Kesatria) serta diiktiraf sebagai jurulatih kawat bagi melatih siswa siswi ITM yang mengambil ko-kurikulum Kesatria. Itulah kenangan manis semasa aku belajar di ITM dulu. Dalam kerjaya sebagai pegawai penjara pula, teringat aku semasa mula-mula kerja dahulu, selama 6 bulan aku tidak lekang dengan boot kawat ni. Tiap-tiap hari dok tenyeh kepada boot sampai kilat. Minggu depat.....bermulalah semula era itu.

Monday, October 12, 2009

Al-Fatihah buat arwah ayah......

Diam tak diam, dah 19 tahun arwah ayah meninggalkan kami. Semasa balik raye baru-baru ni sempat juga aku, Asyraf dan Amirul menziarahi pusara ayahanda. Walaubagaimanapun Asyraf dan Amirul tak sempat mengenali arwah ayah.
Masih aku ingat detik-detik arwah ayah menghembuskan nafas terakhir di HUSM Kubang Kerian. Masa tu aku bersama mek berada di sisi arwah ayah. Peristiwa itu masih segar dalam ingatanku walaupun aku cuba melupakannya.
Al-Fatihah buat arwah ayah, semoga roh arwah ayah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.

Friday, June 26, 2009

Helikopter

Aku masih ingat lagi, dalam penghujung tahun 60an, apabila musim banjir, jalanraya dari Bachok menghubungi bandar-bandar lain seperti Kota Bharu terputus akibat dinaiki air. Pada masa itu, helikopter tentera udara Di Raja Malaysia iaitu Helikopter NURI akan mendarat di padang Sekolah Anika untuk menghantar bantuan makanan.

Apabila deruman bunyi pesawat udara mula kedengaran, orang-orang kampung tak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan, akan berlari ke Padang Anika untuk melihat dengan lebih dekat kehebatan helikopter itu. Maklum sajalah pada masa tu bukan senang nak lihat helikopter. Helikopter akan berlegar-legar di udara beberapa kali dan terbang rendah sehingga pesawat itu mula mendarat. Angin kipasnya sungguh kuat sehinggakan kami terasa hampir melayang.
Aku teringat satu kisah di mana ada seorang lelaki pertengahan umur sama-sama berlari ke padang untuk turut sama melihat helikopter mendarat. Orang tua zaman dulu mana ada pakai seluar. Masing-masing hanya pakai kain pelikat dengan baju pagoda je. Apabila sampai saje berhampiran kawasan helikopter mendarat, angin dari kipas helikopter yang kuat itu telah menyebabkan kain pelikat yang dipakainya terselak dan menampakkan $#%& nya. Zaman tu mana le ada orang tua pakai seluar dalam. Maka gelabahlah dia cuba sedaya upaya menutup &^*%$ nya itu. Orang yang melihatnya termasuk aku ketawa terbahak-bahak melihat aksi lucunya. Ape taknya, nak gi tengok helikopter, tapi lain pula dapat tengok.....

Thursday, June 25, 2009

Sarkas

Dulu, Bachok pernah beberapa kali didatangi oleh pasukan pertunjukan sarkas dari Negeri China. Setiap orang teruja melihat ketibaan gajah dan kenderaan yang membawa harimau, singa, beruang, tapir, kuda dan lain-lain. Orang ramai tidak ketinggalan berdiri di tepi jalan menunggu kehadiran rombongan sakras tersebut. Setengah-setengahnya menunggu dengan batang pisang dan tebu untuk diberikan kepada gajah yang melalui hadapan rumah mereka. Sedekah jariah.....

Beratus orang mengerumuni sangkar haiwan liar tersebut bila ditempatkan di satu sudut khas tepi padang bola Sekolah Anika (sekarang ni dipanggil padang Majlis Daerah atau Padang Astaka) tidak jauh dengan rumahku, di mana sarkas itu akan membuat pertunjukan. Kadang-kadang harimau dalam sangkar itu mengaum dan menerkam ke arah kami. Terperanjat! Menakutkan!.
Khemah besar sebesar hampir tiga per empat padang bola didirikan oleh pekerja sarkas dikelilingi khemah kecil tempat tinggal kakitangan dan haiwan. Di hadapan pintu masuk ada dipasang ‘merry-go-round’ dan lain-lain permainan untuk kanak-kanak.

Bachok menjadi cukup meriah kerana kehadiran sarkas tersebut. Pada waktu malam lampu berwarna warni dipasangkan dengan banyaknya di samping keriuhan bunyi muzik dari pembesar suara sarkas. Cuba bayangkan betapa meriahnya suasana ketika itu.

Bila pertunjukan dimulakan, tempat duduk yang bertingkat-tingkat dan kerusi dipenuhi penonton dari jauh dan dekat. Aku sempat beberapa kali menyaksikan pertunjukan sarkas ini. Apa yang amat menarik perhatianku ialah dua buah motosikal yang dipandu dalam sebuah kurungan berjaring bulat seperti globe. Penunggangnya memandu laju bersilang tanpa berlanggar. Cemas! Aksi mereka mecemaskan.
Aku juga difahamkan , banyak jugalah kucing-kucing peliharaan dan kucing-kucing terbuang hilang pada masa tu. Dengar cerita dijual oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kepada pihak sarkas untuk makanan harimau dan singa.

Wednesday, June 24, 2009

Kertok

Mungkin sekarang ramai yang tidak mengenali kertok. Ia merupakan sejenis alat muzik tradisional yang kebiasaannya diperbuat daripada kayu merbau yang menggunakan alat palu untuk mengetuk belira. Belira adalah sejenis kayu yang diletak di atas lubang kertok untuk menghasilkan bunyi. Penggunaan kayu yang baik untuk menghasilkan belira dikatakan mempengaruhi bunyi yang dihasilkan selain pengalaman pemain muzik itu sendiri. Alat muzik tradisional ini pada asalnya diperbuat daripada buah kelapa yang bersaiz besar sebelum ditukar kepada kayu merbau.
Pada zaman dahulu, kertok digunakan oleh golongan tertentu untuk memanggil penduduk kampung atau orang ramai supaya berkumpul sebelum menyampaikan sesuatu berita atau pengumuman penting. Selain itu, kertok juga digunakan dalam pertandingan yang disertai penduduk kampung terutama selepas musim menuai padi. Lazimnya, pertandingan tersebut diadakan pada waktu malam. Dalam pertandingan kertok pula, setiap pasukan mempunyai enam set kertok dengan 12 pemain alat muzik iaitu dua orang bagi satu kertok. (Foto dan artikel petikan dari akhbar KOSMO)

Arwah datukku yang aku panggil ayah tua (ayah kepada mek) adalah merupakan seorang pakar membuat dan memainkan kertok. Aku masih ingat lagi sewaktu aku kecil, semasa mengunjungi rumah datukku, banyak kertok yang dibuat oleh ayah tua, dihiasi indah tersusun rapi di dalam rumahnya. Arwah juga pernah membuatkan sebuah kertok daripada kelapa besar untuk diberikan kepadaku.
Semasa hayatnya beliau pernah memasuki pertandingan kertok dan sering menjadi juara. Tapi selepas beliau meninggal dunia, aku dapati tiada sebiji kertok pun yang tersimpan dirumahnya. Kebanyakkannya arwah hadiahkan kepada rakan-rakan serta saudara mara. Aku juga mendapat sebuah kertok kayu tersebut dan sekarang ini masih tersimpan di rumah mek tapi sayang sekali khazanah peninggalan datuk aku ini tak terjaga rapi. Aku tak tahu sama ada ianya masih elok atau tidak.

Wednesday, June 3, 2009

Cuti Sekolah

Sebut pasal cuti sekolah ni, banyak yang nak aku ceritakan. Cuti sekolah selama 2 minggu ni anak-anak aku yang belajar di KT semuanya balik ke Langkawi. Jadi di umah cukup korumlah. Yang paling hepi ialah Aliff dapat jumpa dengan Abang Kelah (Abang Asyraf) kerana mereka berdua memang rapat. Mereka tiba di Langkawi pada Jumaat.. Ambik dari jeti LGK, kami bawa mereka pekena Roti Canai sebelum balik ke rumah.

Sebut pasal cuti sekolah juga, terkenang aku masa kecil-kecil dulu. Arwah ayah adalah seorang guru. Jadi, dalam cuti sekolah memang dia amat sibuk memeriksa kertas-kertas jawapan peperiksaan. Aku dan Kak Long banyak membantu memeriksa kertas soalan objektif. Bukan susah sangat. Main 'tekop' je kertas jawapan tu dengan kertas jawapan yang betul dan tanda. Lepas tu kira berapa yang betul. Time aku suka bila susun markah pelajar dari no.1 hingga no. last. Dulu mana ada komputer. Semua kena buat secara manual.

Pernah juga aku membantu ayah menaip soalan peperiksaan atas kertas stensel dengan mesin taip. Masa tu mana ada mesin fotostat.Kena taip atas kertas stensellah. Lepas tu gelek di sekolah. Dulu memang aku cekap menaip. Masa di ITM buat 'paper work' dan 'project paper' pun pakai mesin taip je... Untung budak-budak zaman sekarang kerana dah ada komputer..

Friday, May 29, 2009

Kik Kok

Masa kecik-kecik dulu, aku adik-beradik dan sepupu-sepupu, memang suka mencuba. Macam-macam yang kami cuba termasuklah resipi. Salah satu resipi yang kami reka ialah kik kok. Sebelum menaip tu suko dulu - hahaha. Ok, baru buleh menaip. Kik Kok adalah merupakan makanan rekaan sepupuku Kak Mah Kecik dan Kak Dah. Bahan-bahannye adalah seperti berikut:-

Bahan-Bahan:

10 keping asam kandis
2 sudu besar gula pasir.
Lesung batu
Pinggan

Cara-cara membuatnya:

Tumbuk asam kandis dengan lesung batu sehingga lumat. Masukkan dalam pinggan. Taburkan dengan gula pasir. Gotel campuran bahan tadi sebesar buah guli. Lepas itu bahagikan sama banyak dengan adik-adik supaya tidak berbalah terutama Mak Nik dan Teh Mimi. hihihi. (Tapi aku rasa mereka berdua ni tak sempat, kecik lagi masa tu)

Menu ini kami namakan Kik Kok. Kak Long mesti ingat menu ni. Mek Mas (arwoh mok sedara aku - emak kepada kak Mah Kecik & Kak Dah cukup marah sebab habis asam kandis umoh dio kami ambik buat kik kok). Aku caye kau orang tak penah makan benda ni. Tak tahulah macam mane boleh bagi nama ni. Mungkin kerana bila tumbuk bunyi kik kok kik kok kik kok!. Cubalah!

Thursday, May 28, 2009

Basikal Tua

Baca komen Cik Manggis (CM) dalam entri yang lepas, terpanggil aku untuk menulis kisah basikal tua Gemuloh Chek aku. Masa sekolah rendah dulu aku tak ada basikal. Kalau gi sekolah jalan kaki je. Sekiranya ada aktiviti ko-kurikulum pada sebelah petang kalau tak berjalan kaki, aku tumpang membonceng basikal kawan aku. Kalau tidak terpaksalah pinjam basikal gemuloh Chek aku, sebuah basikal tua jenama Raleigh, ada palang lagi.

Satu kisah yang tak dapat aku lupakan berhubung basikal tua Chek aku ni ialah; jeng, jeng, jeng.......

Pada suatu hari kawan aku Zuraini, Haizan dan Badrul Hisham (semua ni lelaki tapi nama ala-ala perempuan) ajak aku pergi ke sekolah kerana ada aktiviti sukan. Zuraini anak orang kaya naik basikal chooper macam basikal P. Ramlee dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok tu. Badrul naik basikal mini dan Haizan pula naik basikal Raleigh. Pada masa tu aku tak ade basikal, terpaksalah pinjam basikal gemuloh Chek. Zaman tu tak ramai lagi budak sekolah ada basikal. Kalau gi sekolah naik basikal tu kira hebatlah.

Kami bertolak sama-sama, tapi memandangkan mereka basikal baru dan aku pula basikal buruk, mereka tinggal aku jauh kedepan. Jadi aku ni tertinggal jauh ke belakanglah, makan habuk le aku. Sampai depan sekolah Menengah Bachok, ramai budak-budak sedang bermain di tepi jalan. Mula-mula lalu basikal chopper yang digatih oleh Zuraini, budak-budak tepi jalan bersorak dan bertepuk tangan. Maklum je le basikal jenama chooper merupakan keluaran terbaru dan satu tu je ada di Bachok ketika tu. Selepas itu tiba pula giliran Badrul ngan basikal mininya, budak-budak bertepuk tangan lagi. Seterusnya tiba pula giliran Haizan dengan basikal Raleighnya, budak-budak masih bertepuk tangan walaupun tidaklah sekuat dan semeriah basikal pertama dan kedua tadi.

Seterusnya tiba pula giliran ku dengan basikal tua Chek aku. Sampai saje depan budak-budak tu, mereka semua gelakkan aku sambil mengejek, "Ooo sikal burok, sikal burok, hahaha!" . Kurang asam betul. Merah padam muka aku. Rasa nak terajang saje bebudak tu. Dah le basikal tu tinggi, aku pula tak berapa tinggi. Gatih pula atas galang tapi tak dapat duduk atas pelana. Kau orang bayangkanlah bagaimana gayanya. Tiba di sekolah kawan-kawan aku tanya, "bakpo lambat sapa, mung berenti mane". Lagi le panas hati aku. Dalam hati aku berkata, "mung takpo la sikal baru, aku sikal burok, rata pong tak dok minyok, bunyi krok, krek....krok, krek, mano buleh laju *&%$#@". Balik kat rumah, aku mengamok mintak mek beli basikal baru...... Terkenaaaang aku..

Wednesday, May 27, 2009

FIAT 124 Special T


Adik-adikKu, masih ingat lagi kereta ni. Kereta ni banyak memberi kenangan kepada ku. Sebenarnya kereta ni milik ayah aku. Arwah memang minat kereta buatan Itali. Selama hayat ayahku, dia hanya pernah memiliki 2 buah kereta saje. Kereta pertamanya ialah Fiat 124 bernombor pendaftaran kalu tak silap aku TC 393. (meme tok silap lagi, tq csue tulong ingatke). Kemudian jual kereta tersebut lalu beli kereta Fiat 124 Special T bernombor pendaftaran BAQ 8448. Kereta ni jenis Turbo sikit. Enjinnya jenis Twin Cam, jadi telan minyak kuat le sikit, maklumlah 1600 cc. Pada asalnya kereta ini warna hijau. Memandangkan bodinya dah hancus, jadi aku baiki dan buat bodi di Kuantan dan cat semula dengan warna putih. Kalu tak silap aku nama kedai tu MAZA. Setahun lepas tu aku cat semula di Penjara Penor dengan warna merah.

Sebenarnya banyak juga kenangan pahit manis aku bersama kereta ini. Akulah orang yang jaga kereta ni setelah ayah aku jatuh sakit. Aku bawanya ke Kuantan. Memandangkan kereta ini kereta jenis lama, banyaklah juga duit aku habis untuk membaiki kereta ni. Tapi aku bersyukur, kerana inilah kereta pertama yang aku pakai dan banyak membantu aku. Kereta ni kalau tak kena caranya, banyak ragamnya dan pernah beberapa kali rosak di tengah jalan. Memandangkan aku dah lama jaga kereta ni, tau le sikit sebanyak ragamnya dan dapat le aku baiki sendiri. Kereta ni setakat rosak sikit-sikit tu aku baiki sendiri je..... Terkenaaaang aku......

Monday, May 25, 2009

Nimbo Ike

Berhampiran rumah aku ada sebuah 'culvert' atau orang sini panggil 'paip' je. 'Paip' ni adalah merupakan laluan air melintasi jalan. Pada musim tengkujuh air di sini sentiasa penuh, aku seringkali memancing, tahan tembila dan tahan taut di sini. Sekiranya hujan lebat, memandangkan air terlalu banyak dan culvert (paip) tak dapat menampung air hujan yang banyak, maka kawasan rumah aku sering di tenggelami air sehingga paras lutut. Tapi ianya berlaku sekejap aje. Selepas air yang bertakung dapat mengalir melalui culvert tadi, makan air akan kembali surut seperti sedia kala. Perkara ini masih berlaku sehingga ke hari ini.

Pada musim kemarau pula, air di kawasan sawah akan kering. Tinggal di kawasan 'paip' tadi jelah yang tidak kering. Jadi ikan akan berkumpul di sini. Pada masa ini ayah aku bersama Gemulah Chek (atok aku), Pak Su Awang, sepupu aku Abe Him dan beberapa orang kampung akan menimba ikan di kawasan ini. Penglibatan adik-adik "lelaki" ku yang lasak-lasak tu aku tak ingat. Tapi biasanya kalau ada aktiviti gemuloh ayoh, mesti adalah mereka ni.
Kalau sekarang orang menimba ikan menggunakan injin sedut air, tapi pada zaman tersebut, kami hanya menggunakan timba atau baldi, untuk mengeringkan air. Aku pun tidak melepaskan peluang menimba air ni tapi bila air dah hampir kering. Kalau timba masa air banyak takut tenggelam, sebab aku ni tak le tinggi sangat. Tapi bukan rendah tau! Kalau tidak takkan dapat kerja wadar. hihihi.

Bila air dah hampir kering, maka kerja seterusnya adalah menangkap ikan atau orang panggil 'metap ikan'. Caranya macam ni; mula-mula kita raba ikan yang terdapat dalam lumpur, bila rasa ada ikan, terus tangkap dan masukkan ke dalam baldi. Kadang-kadang tu tertangkap ikan keli. Kalau kena sengat tu, nasib le. Kerja menimba ikan ini memakan masa hampir 3 jam dan mungkin lebih, bergantung kepada keluasan kawasan dan banyak atau tidaknya ikan. Memandangkan kerja-kerja menimba ikan ni dilakukan di tepi jalan, maka ramailah orang yang lalu lalang akan berhenti melihatnya.
Ikan akan dibahagi sama rata dengan mereka yang mengambil bahagian.

Biasanya ikan yang kami dapat adalah keli, haruan, puyu dan sepat. Hasil tangkapan akan kami bahagikan sama rata. Seronok sungguh, ia bagaikan pesta. Terkenang aku......

Saturday, May 23, 2009

Tahan Pukat

Teringat lagi aku semasa kecil dulu, arwah ayahku suka tahan pukat. Kalau tiba saje musim tengkujuh, aktiviti kami ialah tahan pukat dalam sawah padi sebelah rumah kami. Masa tu ayah aku ada 2 utas pukat. 1 pukat jenis satu lapis dan satu lagi jenis 3 lapis. Pukat ni dia upah Pok Wel Gat yang buatkan. Pok Wel Gat ni pakar jahit pukat. Sebut saje jenis apa, dia mesti boleh buat.
Ayah aku pula pakar tahan pukat. Satu ketika, aku pernah ingat yang dia tahan pukat 'atas darat'- maksudnya dia tahan pukat dalam sawah yang kering tanpa air. Tapi keesokannya bila kami pergi angkat pukat, ianya penuh dengan ikan, ada ikan puyu, keli, haruan, sepat malah ular dan belut pun ada. Dapatlah 2 baldi penuh. Nak tahu macam mana dia buat.
Ceritanya gini, petang tu bila dia tengok langit gelap mahu hujan lebat, dia terus tahan pukat. Bila hujan lebat turun, air akan memenuhi sawah sambil membawa berbagai jenis ikan dari sebelah hulu. Apa taknya, memang tersangkut lah ikan tu. Tu le sampai ular pun boleh tersangkut.
Kerja angkat pukat dan buang ikan dari pukat ni adalah kije aku adik beradik. Adik beradik aku yang paling minat angkat pukat ni ialah 'budak lasak' Ayu dan Mimi. Tak caye tanya dia.
Dah terlalu banyak dapat ikan darat, lauk kami musim tengkujuh tu ialah menu ikan darat je lah. Macam-macam menu; gulai ikan darat, keli goreng pedas, pais ikan sepat, sup ikan haruan dan berbagai-bagai lagi. Yang menjadi masalahnya mek dan Kak Long aku tak makan ikan darat sebab ikan darat ni tak kena gaya bau hanyir.
Itulah kisahnya. Terkenangggg aku......

Thursday, May 21, 2009

Terkenang

Masa aku sedang relax tengah hari tadi, sementara tunggu jam 2.00 petang, aku tersenyum sendiri. Apa taknye, terkenang aku satu kisah semasa aku kecil-kecil dulu. Nak kata aku ni jenis nakal, taklah nakal sangat. Tapi aku ni jenis lasak sikit. Apa saje aku nak cuba.
Ada satu kisah aku nak ceritakan. Kisah ni berlaku pada petang hari raya kedua kalu tak silap. Masa tu manalah mercun ni diharamkan oleh kerajaan. Jadi aku bersama rakan-rakan dan juga adik beradik perempuan aku (masa tu aku tak de saudara lelaki jadi adik beradik perempuanlah jadi rakan sepermainan ku) mainlah mercun. Masing-masing tunjuk teror cucuh mercun. Tiba giliran aku, kerana nak tunjuk teror dan nak cuba yang baru, aku cucuk mercun kat t*h* lembu yang baru lepas b*r*k . Bila cucuh, aku tak sempat lari. Kau orang tau apa terjadi, paham-paham ajelah. Habis baju raya aku. Sedara-sedara dan rakan-rakan aku apa lagi, tergelak besar le. Kau orang nak tau apa perasaan aku ketika itu, nak menangis ada, malu ada, marahpun ada. Rasa nak cucuh mercun kat j*b*r lembu yang berak tu. Tapi kenapa pulak, bukan salah dia..... Jadi balik rumah aku buat muka sedih, takut mek marah. Aku tengok muka mek, nak marah ade, nak tergelak pun ada. Terkenanggggg aku ........ Kau orang yang baca kisah ni jangan tergelak pula ye. Aku marah niii.

Wednesday, March 4, 2009

Pengalaman Sembelih Itik

Sebut pasal cerita sembelih itik ni, aku terkenang pengalaman sembelih itik bersama arwah ayah ku semasa kecil dulu. Sebagaimana yang dimaklumkan dalam entri yang lepas, arwah ayahku ada bela beberapa ekor itik. Memandangkan itik dah ramai, jadi ayahku bercadang untuk sembelih beberapa ekor itik buat lauk pada hari tu. Aku sebagai anak lelaki bertanggungjawab untuk tangkap itik-itik ni. Kalau tak silap aku sebanyak 2 ekor itik aku tangkap untuk disembelih. Biasanye bagian tangkap ayam, itik ni aku dan adik ku perempuan bernama Za lah kerana dia nie kuat berlari, memang ahli sukanpun di sekolah. Hihihi. Ayu & Mimie tok sah kiralah, sampai masuk bawah umah untuk kejar itik. Pernah kena kejar balik ke ayam pun ada. hahaha...
Nak jadikan cerita, itik yang ayah aku sembelih tu tak nak mati. Bila boleh makan daging itik nie. Kami sembelih itik pagi tu lebih kurang jam 8.30 pagi. Lebih kurang jam 12.00 tgh itik masih belum mati dan masih berlari disekitar rumah. Ayah aku sempat pergi ke pasar untuk beli ikan. Bila balik ke rumah itik masih belum mati.... Apa nak jadi nie. Dia sempat juga tanya kenkawan di pasar kenapa itik yang dia sembelih tak nak mati. Panjang umur betullah.
Rupa-rupanya tak kena cara. Sembelih dah betul tetapi selepas sembelih jangan terus lepas. Kena pegang kakinya ke atas, kepala ke bawa biar semua darah dalam kepalanya keluar terlebih dahulu. Lepas tu baru buleh lepas. Apa lagi, aku dan adik-adik aku pun kejar le itik tu dan buatlah apa yang ayah aku bagi tau tadi. Memang menjadi, lepas tu itik-itik tadi pun mati. Hahaha, dapat jugalah kami sekeluarga makan gulai itik hari tu.