Monday, July 18, 2016

RAYA PUASA TAHUN INI 2016

Kebiasaannya pada hari raya yang lepas-lepas, kami sekeluarga bergambar di rumah sahaja. Berbeza pada tahun ini, sesi bergambar diadakan lokasi berbeza iaitu di pantai.

Tahun ni tak cukup korum kerana Asyraf (anak No. 2) tak dapat cuti dan terpaksa bekerja.
 Pulau Nami Malaysia, itulah nama jolokan bagi sebuah pantai indah yang terdapat di Pantai Senok yang terletak di Tawang, Bachok Kelantan. Ia dianggap sebagai Pulau Nami Malaysia kerana ramai pengunjung yang memuat naik gambar keindahan deretan pokok rhu yang tidak ubah seperti di Pulau Nami, Korea Selatan. Aku tak pernah le sampai ke Korea selatan ni.Tapi itulah gambaran tentang keindahan Pantai Senok ini dan inilah lokasi bergambar kami dan keluarga kali ini.

Bersama-sama bonda, isteri dan adik-adik.


Keluarga besar Ku, tahun ni ramai yang tak dapat pulang beraya di kampung. Hanya ini saja......

Sedikit cerita tentang Pulau Nami Malaysia ni, sebenarnya pokok-pokok rhu di Pantai Senok ini ditanam oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan agensi kerajaan dalam usaha untuk mengalakkan penjagaan alam sekitar sejak lebih lima tahun dahulu. Kini pokok-pokok rhu tersebut mula membesar menjadi semakin matang, sekali gus mengindahkan kawasan Pantai Senok hingga menjadi sebahagian tarikan pelancong di Kelantan. Tapi inilah pertama kali aku menjejak kaki ke pantai ini.





Namun, di sebalik keindahan Pantai Senok tersebut, malangnya jumlah sampah sarap juga semakin meningkat. Sikap pengunjung yang tidak mementingkan kebersihan Pantai ini amatlah dikesali. 

Aku difahamkan, pihak Majlis Daerah Bachok (MDB) telah menyediakan tong sampah yang mencukupi di kawasan Pantai Senok selain menyediakan jadual kutipan sampah secara berkala. Tidak hanya pihak MDB, malah pertubuhan kebajikan Perantau Bachok juga turut membekalkan tong-tong sampah untuk kemudahan pengunjung di pantai ini. Tapi semasa aku sampai di pantai ini, tong sampah entah ke mana. Hanya yang tinggal papan tanda supaya membuang (tohok) sampah dalam tong sampah sahaja yang tinggal.

Semoga pada masa akan datang, para pengunjung akan lebih memahami erti bersih dan makna kotor. Aku berharap pada raya tahun hadapan, dapat sekali lagi aku bergambar bersama keluarga di Pulau Nami Malaysia ini dalam suasana yang bersih dan segar dan Pulau Nami Malaysia akan terus menjadi lokasi bergambar sama ada untuk sesi fotografi bagi pasangan pengantin atau pun untuk koleksi kenangan.