Sunday, August 28, 2016

Ronda-Ronda Melaka

Awal bulan Ogos ini, kami berkesempatan pergi ke Melaka untuk menjemput anak sulung kami Adila yang telah tamat pengajian di UiTM Jasin Melaka. Perjalanan kami  3 beranak iaitu aku, isteri dan Aliff,  bertolak pada 6 Ogos 2016 dengan menaiki RORO dari Langkawi dan seterusnya meneruskan perjalanan dari Kuala Perlis ke Merlimau. Sebelum itu di Kuala Perlis, kami makan tengahari di Gerai Makan Kambing Bakar Percik, perkena kambing bakar dulu.


Selesai makan tengahari, kami terus bertolak ke Merlimau. Perjalanan mengambil masa hampir 10 jam dan kami tiba di Merlimau pada jam lebih kurang 11.00 malam. Satu perjalanan yang agak memenatkan kerana terpaksa drive berseorangan. Walaubagaimanapun, Alhamdulillah, perjalanan lancar tanpa kesesakan jalanraya dan cuaca pada hari tu amat baik sekali. Kepenatan terubat setelah berjumpa satu-satunya anak perempuan kami. Malam tu kami bermalam di rumah sewa Adila saja.

Keesokan paginya kami telah ke Bachang Melaka untuk pekena Roti Canai Kayu Arang yang boleh dikatakan famous kat Melaka akhir-akhir ni. Setelah mengikut arahan google Maps, akhirnya kami sampai juga ke lokasi yang dicari. Tapi ramainya orang tau tau nak kata. Terpaksa menunggu untuk dapatkan tempat duduk. Tetapi dek kerana dah pasang niat nak makan kat situ, kami tunggu jugalah. Akhirnya dapat juga tempat duduk. Setelah membuat pesanan makanan, terpaksa tunggu lagi untuk makanan sampai. Setelah hampir 40 minit menunggu, akhirnya sampailah pesanan yang dinanti-nantikan..... roti canai kayu arang. Alhamdulillah dapat juga kami merasainya.





Alang-alang dah sampai kat Melaka ni, rasa tak sah kalau tak ronda-ronda bandar Melaka. Memandangkan bulan ni bulan kemerdekaan, kami pun pergilah melawat Memorial Pengistiharan Kemerdekaan. Sebenarnya aku dah beberapa kali ke sini. Tapi bagi Aliff, inilah kami pertama beliau menjejak kaki ke sini.






Setelah penat pusing-pusing dan shoping moping, sebelum bertolak balik semula ke Merlimau, kami singgah dulu pekena Kelebang Coconut Shake. Kat sini pun orang ramai juga, terpaksa tunggu untuk dapatkan tempat duduk dan beratur untuk order minuman.




Pada sebelah malam tu pula, kami ke Umbai, perkena ikan bakar Parameswara. Rasa macam tak sah kalau tak pekena ikan bakar kat Melaka ni. Selesai makan kat sini, balik rumah baru lah lena tidur.





Keesokan paginya awal-awal lagi kami bersiap kemas barang Adila dan masukkan dalam kereta. Siap berkemas dan selesai bersarapan, kami bertolak ke Kuala Lumpur untuk hantar Adila ke rumah adik ipar di sana. Kami kena tinggalkan Adila di Kuala Lumpur kerana dia akan menjalani praktikal selama 4 bulan  di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Keesokan harinya, kami 3 beranak bertolak balik ke Kuala Perlis dan terpaksa bermalam di hotel untuk semalaman sebelum masuk semula ke Langkawi. 

Monday, July 18, 2016

RAYA PUASA TAHUN INI 2016

Kebiasaannya pada hari raya yang lepas-lepas, kami sekeluarga bergambar di rumah sahaja. Berbeza pada tahun ini, sesi bergambar diadakan lokasi berbeza iaitu di pantai.

Tahun ni tak cukup korum kerana Asyraf (anak No. 2) tak dapat cuti dan terpaksa bekerja.
 Pulau Nami Malaysia, itulah nama jolokan bagi sebuah pantai indah yang terdapat di Pantai Senok yang terletak di Tawang, Bachok Kelantan. Ia dianggap sebagai Pulau Nami Malaysia kerana ramai pengunjung yang memuat naik gambar keindahan deretan pokok rhu yang tidak ubah seperti di Pulau Nami, Korea Selatan. Aku tak pernah le sampai ke Korea selatan ni.Tapi itulah gambaran tentang keindahan Pantai Senok ini dan inilah lokasi bergambar kami dan keluarga kali ini.

Bersama-sama bonda, isteri dan adik-adik.


Keluarga besar Ku, tahun ni ramai yang tak dapat pulang beraya di kampung. Hanya ini saja......

Sedikit cerita tentang Pulau Nami Malaysia ni, sebenarnya pokok-pokok rhu di Pantai Senok ini ditanam oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan agensi kerajaan dalam usaha untuk mengalakkan penjagaan alam sekitar sejak lebih lima tahun dahulu. Kini pokok-pokok rhu tersebut mula membesar menjadi semakin matang, sekali gus mengindahkan kawasan Pantai Senok hingga menjadi sebahagian tarikan pelancong di Kelantan. Tapi inilah pertama kali aku menjejak kaki ke pantai ini.





Namun, di sebalik keindahan Pantai Senok tersebut, malangnya jumlah sampah sarap juga semakin meningkat. Sikap pengunjung yang tidak mementingkan kebersihan Pantai ini amatlah dikesali. 

Aku difahamkan, pihak Majlis Daerah Bachok (MDB) telah menyediakan tong sampah yang mencukupi di kawasan Pantai Senok selain menyediakan jadual kutipan sampah secara berkala. Tidak hanya pihak MDB, malah pertubuhan kebajikan Perantau Bachok juga turut membekalkan tong-tong sampah untuk kemudahan pengunjung di pantai ini. Tapi semasa aku sampai di pantai ini, tong sampah entah ke mana. Hanya yang tinggal papan tanda supaya membuang (tohok) sampah dalam tong sampah sahaja yang tinggal.

Semoga pada masa akan datang, para pengunjung akan lebih memahami erti bersih dan makna kotor. Aku berharap pada raya tahun hadapan, dapat sekali lagi aku bergambar bersama keluarga di Pulau Nami Malaysia ini dalam suasana yang bersih dan segar dan Pulau Nami Malaysia akan terus menjadi lokasi bergambar sama ada untuk sesi fotografi bagi pasangan pengantin atau pun untuk koleksi kenangan.