Friday, June 26, 2009

Helikopter

Aku masih ingat lagi, dalam penghujung tahun 60an, apabila musim banjir, jalanraya dari Bachok menghubungi bandar-bandar lain seperti Kota Bharu terputus akibat dinaiki air. Pada masa itu, helikopter tentera udara Di Raja Malaysia iaitu Helikopter NURI akan mendarat di padang Sekolah Anika untuk menghantar bantuan makanan.

Apabila deruman bunyi pesawat udara mula kedengaran, orang-orang kampung tak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan, akan berlari ke Padang Anika untuk melihat dengan lebih dekat kehebatan helikopter itu. Maklum sajalah pada masa tu bukan senang nak lihat helikopter. Helikopter akan berlegar-legar di udara beberapa kali dan terbang rendah sehingga pesawat itu mula mendarat. Angin kipasnya sungguh kuat sehinggakan kami terasa hampir melayang.
Aku teringat satu kisah di mana ada seorang lelaki pertengahan umur sama-sama berlari ke padang untuk turut sama melihat helikopter mendarat. Orang tua zaman dulu mana ada pakai seluar. Masing-masing hanya pakai kain pelikat dengan baju pagoda je. Apabila sampai saje berhampiran kawasan helikopter mendarat, angin dari kipas helikopter yang kuat itu telah menyebabkan kain pelikat yang dipakainya terselak dan menampakkan $#%& nya. Zaman tu mana le ada orang tua pakai seluar dalam. Maka gelabahlah dia cuba sedaya upaya menutup &^*%$ nya itu. Orang yang melihatnya termasuk aku ketawa terbahak-bahak melihat aksi lucunya. Ape taknya, nak gi tengok helikopter, tapi lain pula dapat tengok.....

Thursday, June 25, 2009

17th Anniversary

Hepi 17th anNiVer$arY.. $m0ga ma & abAH pnJG UMur & bAHAgiA $laLU..$m0ga iKaTan $uci Ini b'kKln hiNGga kE AKHiR hAYAt..AMIN!! ThANkZ 4 bEIng tHE bE$t pAREnt$ f0r us...

Inilah mesej yang aku terima drp kakak tengah malam semalam. Rupe-rupenye ari ni adalah merupakan hari ulang tahun perkahwinan ku yang ke 17 tahun. Cepat sungguh masa berlalu. Rasa seakan semalam baru bersanding.... hihihi. Anyway thanks kakak for your wish dan ingatkan kami.....

Sarkas

Dulu, Bachok pernah beberapa kali didatangi oleh pasukan pertunjukan sarkas dari Negeri China. Setiap orang teruja melihat ketibaan gajah dan kenderaan yang membawa harimau, singa, beruang, tapir, kuda dan lain-lain. Orang ramai tidak ketinggalan berdiri di tepi jalan menunggu kehadiran rombongan sakras tersebut. Setengah-setengahnya menunggu dengan batang pisang dan tebu untuk diberikan kepada gajah yang melalui hadapan rumah mereka. Sedekah jariah.....

Beratus orang mengerumuni sangkar haiwan liar tersebut bila ditempatkan di satu sudut khas tepi padang bola Sekolah Anika (sekarang ni dipanggil padang Majlis Daerah atau Padang Astaka) tidak jauh dengan rumahku, di mana sarkas itu akan membuat pertunjukan. Kadang-kadang harimau dalam sangkar itu mengaum dan menerkam ke arah kami. Terperanjat! Menakutkan!.
Khemah besar sebesar hampir tiga per empat padang bola didirikan oleh pekerja sarkas dikelilingi khemah kecil tempat tinggal kakitangan dan haiwan. Di hadapan pintu masuk ada dipasang ‘merry-go-round’ dan lain-lain permainan untuk kanak-kanak.

Bachok menjadi cukup meriah kerana kehadiran sarkas tersebut. Pada waktu malam lampu berwarna warni dipasangkan dengan banyaknya di samping keriuhan bunyi muzik dari pembesar suara sarkas. Cuba bayangkan betapa meriahnya suasana ketika itu.

Bila pertunjukan dimulakan, tempat duduk yang bertingkat-tingkat dan kerusi dipenuhi penonton dari jauh dan dekat. Aku sempat beberapa kali menyaksikan pertunjukan sarkas ini. Apa yang amat menarik perhatianku ialah dua buah motosikal yang dipandu dalam sebuah kurungan berjaring bulat seperti globe. Penunggangnya memandu laju bersilang tanpa berlanggar. Cemas! Aksi mereka mecemaskan.
Aku juga difahamkan , banyak jugalah kucing-kucing peliharaan dan kucing-kucing terbuang hilang pada masa tu. Dengar cerita dijual oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kepada pihak sarkas untuk makanan harimau dan singa.

Wednesday, June 24, 2009

Kertok

Mungkin sekarang ramai yang tidak mengenali kertok. Ia merupakan sejenis alat muzik tradisional yang kebiasaannya diperbuat daripada kayu merbau yang menggunakan alat palu untuk mengetuk belira. Belira adalah sejenis kayu yang diletak di atas lubang kertok untuk menghasilkan bunyi. Penggunaan kayu yang baik untuk menghasilkan belira dikatakan mempengaruhi bunyi yang dihasilkan selain pengalaman pemain muzik itu sendiri. Alat muzik tradisional ini pada asalnya diperbuat daripada buah kelapa yang bersaiz besar sebelum ditukar kepada kayu merbau.
Pada zaman dahulu, kertok digunakan oleh golongan tertentu untuk memanggil penduduk kampung atau orang ramai supaya berkumpul sebelum menyampaikan sesuatu berita atau pengumuman penting. Selain itu, kertok juga digunakan dalam pertandingan yang disertai penduduk kampung terutama selepas musim menuai padi. Lazimnya, pertandingan tersebut diadakan pada waktu malam. Dalam pertandingan kertok pula, setiap pasukan mempunyai enam set kertok dengan 12 pemain alat muzik iaitu dua orang bagi satu kertok. (Foto dan artikel petikan dari akhbar KOSMO)

Arwah datukku yang aku panggil ayah tua (ayah kepada mek) adalah merupakan seorang pakar membuat dan memainkan kertok. Aku masih ingat lagi sewaktu aku kecil, semasa mengunjungi rumah datukku, banyak kertok yang dibuat oleh ayah tua, dihiasi indah tersusun rapi di dalam rumahnya. Arwah juga pernah membuatkan sebuah kertok daripada kelapa besar untuk diberikan kepadaku.
Semasa hayatnya beliau pernah memasuki pertandingan kertok dan sering menjadi juara. Tapi selepas beliau meninggal dunia, aku dapati tiada sebiji kertok pun yang tersimpan dirumahnya. Kebanyakkannya arwah hadiahkan kepada rakan-rakan serta saudara mara. Aku juga mendapat sebuah kertok kayu tersebut dan sekarang ini masih tersimpan di rumah mek tapi sayang sekali khazanah peninggalan datuk aku ini tak terjaga rapi. Aku tak tahu sama ada ianya masih elok atau tidak.

Sunday, June 21, 2009

Selamat Hari Bapa

HapPY fatHer$ dAY..$m0ga pNJg uMUr & dMURahkan rEZEKi.. ThANKz 4 evERythING. Thankz 4 bEING mY best ABah. hehe:-)..

Inilah mesej yang aku terima daripada kakak tepat jam 12.00 tengah malam tadi. Dan pagi ini pula, sebaik turun daripada motosikal semasa menghantarnya ke sekolah, Mirul pula mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada ku. Dua hari lepas, Mirul telah memberikan hadiah kepada ku berupa sepasang sudu dan garfu kecil yang dibalut dalam sapu tangan kecil. Bukan nilai hadiah yang perlu kita fikirkan, tapi nilai ingatan mereka terhadap pengorbanan bapa dalam membesar mereka yang perlu dititik-beratkan.
SELAMAT HARI BAPA kepada bapa mertuaku dan semua bapa-bapa dan mereka yang bakal menjadi bapa.
Sayu kerana tidak dapat mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada arwah ayahku. Walaupun ayah sudah tiada, namun kau tetap dalam ingatanku. Jasamu membesarku dan anak-anakmu yang lain sehingga menjadi manusia yang berguna amat aku sanjungi. Setelah aku menjadi bapa, barulah aku sedar betapa besarnya pengorbananmu membesarkan kami. Al-Fatihah buat ayah....
********
Dikemaskini pada 22.6.2009,
Lebih kurang jam 11.00 malam 21.6.2009, terima call daripada Asyraf ucap Selamat Hari Bapa.... MA kata, "kenapa lewat ni.....". Tapi aku tak kisah, janji dia ingat.

Friday, June 19, 2009

Presiden Iran


Tertarik dengan kisah Presiden Iran yang aku terbaca dalam sebuah laman blog, aku copy dan muatkan artikel tersebut ke dalam blog ini untuk tatapan pembaca. Ahmadineejad memang terkenal dengan kesederhanaannya. Antara bukti gaya hidup sederhana presiden Iran yang paling digerunii oleh kuasa Barat ini ialah:

1. Saat pertama kali menduduki pejabat presiden, Ahmadineejad menyumbangkan seluruh karpet pejabat presiden yang sangat tinggi nilainya itu kepada masjid-masjid di Teheran, manakala karpet pejabat Presiden yang didudukinya digantikan dengan karpet biasa yang sangat sederhana.

2. Di banyak kesempatan beliau kelihatan begitu ramah dan mesra dengan semua petugas pejabat, termasuk pekerja kebersihan pejabat.

3. Langkah pertamanya sebagai presiden ialah mengisytiharkan hartanya yang terdiri dari sebuah kereta tua Peugeot 504 tahun 1977 dan sebuah rumah sederhana warisan ayahnya berusia 40 tahun yang lalu yang terletak di sebuah desa terpencil di Teheran. Baki akaun bank dalam simpanannya pula sangat kecil dan satu-satunya wang masuk adalah wang gaji bulanannya .

4. Gajinya sebagai tenaga akademik di sebuah universii tempatan hanya sekitair US$ 250.

5. Sehingga kini Ahmadineejad masih tinggal di rumahnya yang amat sederhana itu dan bukan di kediaman presiden.

6. Ahmadineejad tidak pernah mengambil wang gajinya sebagai presiden, alasannya ialah semua wang gajinya adalah milik negara dan dia bertugas untuk menjaga negaranya.

7. Satu hal yang membangkitkan rasa kagum kakitangan pejabat presiden adalah sebuah beg kecil yang sentiasa dibawa setiap hari Ahmadineejad ke pejabat yang berisikan sarapan pagi terdiri dari kepingan roti atau roti keju yang disiapkan sendiri oleh isterinya di rumah. Beliau dikatakan memakan makanan yang disediakan isterinya itu setiap hari dengan gembira dan mengenepikan kebiasaan menyediakan makanan khusus untuk presiden seperti sebelumnya.

8. Sebaik berkuasa, pesawat peribadi untuk presiden diubahnya menjadi pesawat kargo untuk berkhidmat kepada masyarakat dan untuk dirinya, ia meminta terbang hanya dengan pesawat biasa dengan kelas ekonomi.

9. Beliau boleh ditemui di pejabatnya tanpa temu janji dan protokol yang menyusahkan tetamunya.

10.Jika perlu menginap di hotel, Ahmadineejad hanya meminta disediakan bilik kecil kerana beliau tidak suka tidur di atas katil, tetapi lebih suka tidur di lantai beralaskan karpet dan selimut.

11. Ketika waktu solat berjemaah, jika tiba lewat beliau tidak mahu diberi layanan istimewa, sebaliknya hanya berada di saf tengah atau belakang seperti jemaah lainnya.

12. Sebaik sahaja masuk waktu solat, Ahmadineejad terus menghentikan aktivitinya serta merta untuk mengerjakan solat biar di manapun beliau berada. Jika waktu solat tiba ketika beliau berada di atas jalan, beliau akan bersolat di atas jalan, asalkan ianya bersih.

Memang susah untuk mencari pemimpin seperti beliau di dunia ini. Di tempat kita, bukan kata pemimpin, malah seorang Ketua Jabatan saja yang datang untuk melawat, membuatkan anggota bawahan seminggu tak dapat tidur lena kerana nak buat persiapan. Banyak protokol terpaksa dipatuhi.

Wednesday, June 17, 2009

Cari Rakan Blogger

Sebelum aku balik ke Kuala Berang baru-baru ni, aku ada niat nak cari rakan blogger berasal dari Kuala Berang bernama ayohwang. Aku percaya dapat menemuinya memandangkan Kuala Berang bukanlah besar sangat. Pagi sabtu sebelum hantar anak-anak ke asrama, aku berpusing-pusing di sekitar Kuala Berang, tanya rakan-rakan, tanya posmen dan cari di sekitar Pasar Minggu Kuala Berang, tapi tak jumpa. Memandang waktu dah hampir tengah hari, aku pun pulang ke rumah dengan rasa hampa. Aku percaya suatu hari nanti aku akan berjumpa dengan ayohwang....

Tuesday, June 16, 2009

Buka Sekolah

Hari Ketiga

Jam 8.00 pagi turun dari rumah mek dan pergi ke rumah mertua. Jam 9.30 pagi bertolak balik ke Sungai Petani. Sampai di rumah Zalina jam 4.30 petang. Disebabkan badan terlalu penat, malam tu kami tidur di rumah Zalina.
Hari Keempat
Bertolak dari rumah Zalina jam 10.00 pagi dan tiba di jeti Kuala Kedah jam 11.30 pagi. Kami menaiki feri jam 11.45 pagi. Dalam feri kami duduk seat paling depan. Pada masa tu air laut beralun kuat. Apa lagi, Mirul termuntah dalam feri, mujur ada plastik hitam. Kalau tidak nanya..... Kami tiba di rumah jam 2.30 petang.
Inilah catatan ringkas perjalanan ku selama 4 hari untuk menghantar anak balik ke asrama setelah buka sekolah penggal kedua. Mirul 2 hari ponteng sekolah....... Sekian....

Buka Sekolah

Hari Kedua

Selesai makan makan pagi/tengahari (nasi bungkus lauk gulai daging, 3 bungkus kongsi 6 orang, kira ok le sebab Aliff tak makan banyak), kami bersiap untuk ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, aku tinggalkan mereka semua di Maidin Mall dan aku ke Aeon Credit untuk uruskan pasal road tax dan insuran moto yang dah nak tamat tempoh. Selesai urusan, kami bertolak ke SESMA untuk hantar Asyraf ke asrama. Buat pendaftaran dan bayar apa yang patut (Aku bayar makan asrama je RM130.00, bayaran lain cikgu kata boleh bayar kemudian) dan hantar asyraf ke asrama.
Selesai urusan di SESMA, berpatah balik ke Kuala Berang untuk hantar kakak ke MRSM Kuala Berang. Tiba di MRSM KB dah lewat, lebih kurang 6.15 petang. Kakak bagi tau baju kurung dan tudung putihnya tertinggal di rumah. Balik semula ke rumah dan berpatah balik semula ke MRSM. (Mujur le dekat, kalau tidak , nanya aku...)
Malam, selesai sembahyang Isyak dan basuh pakaian mana yang patut (maklum je lah tak bawa banyak pakaian) lebih kurang jam 9.30 malam, bertolak balik ke Bachok. Tiba di rumah mek jam 12.30 pagi. Malam tu kami bermalam di rumah mek.
...bersambung

Buka Sekolah

Hari Pertama.
Sesi Persekolah Penggal Kedua bermula pada 14.6.2009. Terpaksalah aku menghantar kedua-dua anak-anak aku yang belajar di Terengganu tu ke asrama. Memandangkan tiket bas ke Kuala Berang dah habis, jadi terpaksalah aku hantar anak dengan kereta. Terpaksalah aku pinjam kereta adik ipar ku Zalina yang tinggal di Sungai Petani. Maklum saje le, balik ngan kereta ni, MA mula nak ikut. Aku kata sempit, barang banyak. Dia kata tak apa, tak payah bawa barang banyak.... macam-macam alasan dia bagi. Mirul pula kata tak kisah berhimpit dalam kereta, dia tak merungut.

Jadi akupun setujulah untuk bawa Ma, Mirul dan Aliff bersama. Dapatlah buat teman masa balik nanti. Kami bertolak dari Langkawi menaiki feri jam 9.30 pagi. Tapi feri delay, jam 10.00 baru bertolak. Jam 2.30 petang baru bertolak dari Sungai Petani. Perjalanan hari tu kira ok lah. Walaupun dalam kereta kurang selesa, maklumlah kereta kancil naik 6 orang, tapi tak ade seorangpun yang merungut. Semua nampak cool. (Maklum jelah takut kena halau turun..hihihi).
Perjalanan melalui jalanraya timur barat agak perlahan kerana banyak lori balak (kaya sungguh bumi Malaysia) dan jalan sedang dibaiki. Jam 7.00 malam singgah sebentar di Bukit Bunga untuk makan. Cadang tu nak beli sikit apa yang patut, tapi harga barang-barang yang dijual di sini cukup mahal (cekik darah). Kami tiba di Kuala Berang jam 11.30 malam. Tepi jalan tengok peraih sedang jual durian depan Pejabat Pos Kuala Berang. Kebetulan makcik yang jual durian tu kami kenal. Beli satu longgok baru RM10.00. Dia bagi extra 1 biji. Dapat le 5 biji, kira ok le tapi saiz durian agak kecil. Sampai di rumah, sebelum tidur tu makan durian dulu. Takut kempunan, lama tak makan durian. Di Langkawi paling murah RM5.00 sekilo. Longgok2 ni tak main le. Semua jual pakai timbang.
.....bersambung

Friday, June 5, 2009

Happy Birthday Csue

Happy Birthday Csue. Umor dah meningkat setahun lagi.....

Wednesday, June 3, 2009

Cuti Sekolah

Sebut pasal cuti sekolah ni, banyak yang nak aku ceritakan. Cuti sekolah selama 2 minggu ni anak-anak aku yang belajar di KT semuanya balik ke Langkawi. Jadi di umah cukup korumlah. Yang paling hepi ialah Aliff dapat jumpa dengan Abang Kelah (Abang Asyraf) kerana mereka berdua memang rapat. Mereka tiba di Langkawi pada Jumaat.. Ambik dari jeti LGK, kami bawa mereka pekena Roti Canai sebelum balik ke rumah.

Sebut pasal cuti sekolah juga, terkenang aku masa kecil-kecil dulu. Arwah ayah adalah seorang guru. Jadi, dalam cuti sekolah memang dia amat sibuk memeriksa kertas-kertas jawapan peperiksaan. Aku dan Kak Long banyak membantu memeriksa kertas soalan objektif. Bukan susah sangat. Main 'tekop' je kertas jawapan tu dengan kertas jawapan yang betul dan tanda. Lepas tu kira berapa yang betul. Time aku suka bila susun markah pelajar dari no.1 hingga no. last. Dulu mana ada komputer. Semua kena buat secara manual.

Pernah juga aku membantu ayah menaip soalan peperiksaan atas kertas stensel dengan mesin taip. Masa tu mana ada mesin fotostat.Kena taip atas kertas stensellah. Lepas tu gelek di sekolah. Dulu memang aku cekap menaip. Masa di ITM buat 'paper work' dan 'project paper' pun pakai mesin taip je... Untung budak-budak zaman sekarang kerana dah ada komputer..

Tuesday, June 2, 2009

Happy Birthday Kakak

Kebetulan birthday kakak (1.6.2009) dalam cuti sekolah jadi dapat le sambut bersama-sama kat umah. Tak ade yang spesel, memandangkan anak-anak nak makan KFC dan Spagetti, jadi layan je lah.


Happy Birthday Dila, semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki. Harapan agar SPM tahun depan berjaya dengan cemerlang, InsyaAllah.