Tuesday, May 26, 2009

Langkawi

Sedikit info mengenai Langkawi yang ingin aku kongsikan bersama pembaca sekelian. Aku rasa ada eloknya kita mengetahui serba sedikit berhubung tempat yang kita tinggal agar apabila orang tanya, taklah kita teraba-raba mencari maklumat. Sebenarnya dalam entri yang lepas, banyak tempat-tempat menarik di Langkawi ini telah aku sentuh. Tetapi belum ada maklumat tentang Langkawi secara keseluruhannya.

Langkawi merupakan salah satu daripada daerah dalam negeri Kedah Darul Aman. Pulau Langkawi diberi status bebas cukai pada tahun 1987. Kini, pulau yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi perlancongan yang paling popular di Malaysia. Sekarang ianya dikenali dengan nama jolokan Permata Kedah.
Langkawi sebenarnya merupakan suatu gugusan pulau di mana Pulau Langkawi merupakan yang terbesar. Nama Langkawi ialah kombinasi antara "Lang" dan "Kawi". "Lang" diambil daripada perkataan bahasa Melayu iaitu helang. Pada suatu masa dahulu, ia menjadi tempat tinggal kepada sejumlah burung helang kawi. Sekarang pun masih terdapat banyak burung helang di sini. Kawi adalah bererti merah hati, ini kerana helang ini mempunyai bulu merah hati dan berkepala putih. Kawi juga bererti tulisan Kawi, tulisan yang digunakan oleh tradisi hindu jawa.

Langkawi terletak di utara Selat Melaka di selatan Laut Andaman berhampiran sempadan antara Malaysia dan Thailand. Beberapa kilometer jarak ke utara pulau Thai iaitu Ko Tarutao. Bandar utama gugusan pulau terletak di pulau utama iaitu Kuah. Manakala titik tertinggi Langkawi ialah Gunung Raya, yang mencapai ketinggian 890 m dari atas paras laut di kawasan tengah-barat pulau utama. Kepulauan ini mengandungi 99 pulau yang merangkumi jumlah kawasan darat 528 km2 (204 batu persegi). Langkawi kini dikenali sebagai Langkawi Geopark.
Langkawi adalah sebuah nama yang sarat dengan misteri, mitos dan legenda. Antara kisah legenda yang berkaitan dengan Langkawi termasuklah, Mahsuri, Gergasi Bertarung, Pulau Dayang Bunting, Puteri Dayang Sari, Telani dan Telanai, Geroda dan Jentayu dan Telaga Tujuh.

Dari jeti Kuah, terdapat kemudahan feri berkelajuan tinggi yang menghubungkan Satun di selatan Thailand, Pulau Payar, Pulau Pinang, Kuala Kedah, dan Kuala Perlis di tanah besar Semenanjung Malaysia. Sementara Kapal Star Cruises pula berlabuh di pelabuhan Awana Porto Malai di sebelah barat pulau ini.

Langkawi mempunyai lapangan terbang antarabangsa yang agak besar, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Berikut adalah penerbangan-penerbangan ke Langkawi. Penerbangan Air Asia dari Kuala Lumpur, Thai AirAsia dari Bangkok, MAS dari Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura, FireFly dari Subang dan Pulau Pinang serta Singapore Airlines dari Singapura.

Banyak lagi info menarik mengenai Langkawi yang akan aku muatkan dalam entri akan datang. Untuk mengetahuinya, selalulah lawati blog ini. (iklan free hihihi)

7 comments:

my little family / kaftanbatik said...

ok, ayu bui A utk essei nih..hahhaa

Lee D'Langkawi said...

A++

Tepi Sungai Batu said...

Terima kasih Lee. Baru ambo tahu.

csue said...

panje ah... x cekak nok baco... hihihi

Lee D'Langkawi said...

Mae,
Kawe sekadar memberi sedikit info...

Csue,
Keno baco, mano tahu masuk PTK nanti.....hahaha

my little family / kaftanbatik said...

Abe, PTk csue masuk games jah...hahahah...lariiiiiiiii...

csue said...

loni, games jjakik ko LONG doh pulok... sekak jd cikgi ni lah... hahaha...
mung nk lari mmano gak mnik???