Monday, July 9, 2012

Kera Mengamuk

Inilah masalah bila kera mengamuk. Sehingga ke hari ini, dah 7 kali plate kereta aku  dipatahkan oleh kera-kera yang berkeliaran di kawasan taman kediaman kami. Tak cukup dengan patahkan plate kereta, dia berak pula atas motosikal aku. Geram betul. Sejak sebulan yang lepas, dah lebih 10 buah kereta dan motosikal dipatahkan nombor platenya. Aku dah telefon perhilitan, tapi tak ada apa-apa tindakan yang diambil setakat ini. Nampaknya nak kena bertindak sendirilah. 



Tuesday, January 10, 2012

Catatan Perjalanan - Cuti-Cuti Hujung Tahun

Dek kesibukan tugas yang teramat sangat pada penghujung tahun 2011 lepas, maka tak sempat untuk kami bercuti makan angin. Cadangan awal untuk ke Pulau Pinang dan Cameron Highland tidak kesampaian. Lebih sebulan anak-anak bercuti sekolah hanya berada di rumah sahaja, boleh dikatakan setiap hari keluar dari mulut anak-anak perkataan 'boringggg', lebih-lebih lagi Aliff. Alhamdulillah selepas Krismas, ada sedikit ruang untuk kami sekeluarga pergi bercuti. Ini adalah hadiah kepada anak-anak setelah penat belajar dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang lepas. Adila dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti, Amirul mendapat 5A dalam UPSR dan terkini Asyraf mendapat 8A dalam PMR. Syukur Alhamdulillah. Kebetulan pada hari krismas tersebut adik aku yang tinggal di Tikam Batu, Sungai Petani telah mengadakan majlis pernikahan anak sulungnya. Ini adalah pernikahan anak saudara ku yang pertama. Semua adik beradik aku seramai 9 beradik dan juga ibu tersayang dapat berkumpul untuk majlis ini. Bulan Februari nanti InsyaAllah kami akan berkumpul lagi di sini kerana menghadiri kenduri perkahwinan mereka pula.



Era bersama suami dan keluarga. Selamat Pengantin baru.


26.12.2011 - Ke Kuala Kedah untuk mengambil kereta yang tidak dapat diambil pada 25.12.2011 kerana cuti perayaan krismas, mereka tutup la. Tersadai kereta aku 2 hari di Kuala Kedah. Mujur Teh Mimie bagi pinjam keretanya untuk pergerakan kami di Sungai Petani. Thanks Teh dan terima kasih juga kepada adik ipar Che Oom kerana menjemput kami di Kuala Kedah. Selepas ambil kereta, kami sekeluarga bertolak ke Pulau Pinang dari rumah Mok Nik. Terima kasih Mok Nik dan Che Oom kerana bagi kami tumpang di rumah untuk 2 malam.



Akhirnya tercapai juga hajat kami nak ke Pulau Pinang. Tujuan utamanya ialah nak pi beli jeruk dan makan nasi kandaq. Setelah beberapa kilo makan 'buah langsat', akhirnya kami berjumpa juga dengan tempat yang hendak ditujui iaitu Pasar Chowrasta dan Line Clear.



Inilah kedai kami beli jeruk. Sebelah pasar Chowrasta.



Nasi Kandar Line Clear. Terpaksa beratur hampir 20 minit, baru boleh makan.



Selesai saja beli jeruk dan makan nasi kandar, kami teruskan perjalanan melalui Lebuhraya Utara - Selatan untuk ke destinasi kedua iaitu Cameron Highland. Kami berhenti rehat di R & R Sungai Perak setelah hari sudah gelap. Berhenti untuk sembahyang, mandi dan makan. Kami buat keputusan untuk bermalam saja di sini kerana takut juga nak drive pada waktu malam. Maka tidurlah kami 6 beranak dalam kereta. Kami ingatkan kami saja yang tidur di situ, rupa-rupanya ramai lagi. Jadi kami tak keseorangan lah.


Di sinilah kami sekeluarga seramai 6 orang bermalam. Tidur dalam kereta je. Buka kami sekeluarga je. Ramai lagi......


27.12.2011 - Setelah mandi dan sembahyang subuh, kami teruskan perjalanan ke CH melalui Simpang Pulai. Sebenarnya jalan ni adalah pertama kali kami lalui. Lebih kurang jam 9.00 pagi kami tiba di CH dan bersarapan di Berincang. Selesai bersarapan, kami berpatah balik ke Pasar Kea Farm untuk beli belah. Apa yang kami beli - sayuran, strawberry, jus strawberry dan sedikit cenderamata. Memandangkan hari hujan, kami teruskan perjalanan ke Gua Musang untuk mencari jalan alternatif ke Kuala Berang melalui Tasik Kenyir. Jalan yang belum pernah kami lalui yang dikatakan dekat untuk ke Kuala Berang.



Strawberry oh Strawberry



Setelah beberapa jam perjalanan, kami tiba di R & R Gua Musang dan berhenti untuk sembahyang dan makan. Selesai makan, kami teruskan perjalanan dan tiba di jalan alternatif yang kami cari iaitu Gua Musang - Kuala Berang. Jalannya agak cantik dan seronok memandu dijalan ini memandangkan tidak banyak kenderaan. Tetapi setelah tiba di Felda Aring, tiba-tiba jalan menjadi teruk. Tak kuasa nak cerita, tengok sendirilah gambar di bawah ini. Mungkin dalam lingkungan 20 km aku terpaksa memandu melalui jalan seperti ini.



Jalan di Felda Aring.


Tetapi setelah masuk kawasan Hulu Terengganu, jalan bertukar elok semula. Walaupun terdapat beberapa tempat didapati jalan runtuh, tetapi telah dibaiki dan dibuat lencongan. Perjalanan pada 27.12.2011 selesai setelah kami tiba di rumah ku di Kuala Berang hampir jam 8.30 malam.



Pemandangan indah Tasik Kenyir


Lagi gambar klik sini.

Wednesday, December 14, 2011

LIMA 2011

LIMA 2011 telah melabuhkan tirainya setelah berlangsung selama 5 hari dengan pelbagai acara. Antara yang menarik ialah pertunjukan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, demostrasi dan pameran Maritim di Awana Porto Malai dan pameran di MIEC. Kami sempat juga mengunjungi pameran tersebut pada 9 dan 10 Disember 2011 setelah ianya dibuka kepada orang ramai. Aliff amat teruja apabila melihat replika kapal terbang, kapal laut dan helikopter di dalam dewan pameran dan minta untuk bergambar dengan replika-replika tersebut. Lebih teruja apabila dapat melihat kapal terbang, helikopter dan kapal-kapal sebenar tambahan pula dapat menaiki kapal dan helikopter untuk bergambar.



Lagi gambar klik di sini.

Wednesday, December 7, 2011

LIMA Tourism Carnival 2011

Sempena LIMA 2011 ini, telah diadakan Karnival Pelancongan LIMA 2011 bertempat di Medan Letak Kereta LADA, Kuah. Karnival ini telah dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir. Kamipun berkesempatan untuk turut serta dalam program ini. Maklumlah kalau tak datang agak rugi kerana aktiviti seperti ini hanya diadakan 2 tahun sekali sahaja. Dalam karnival ini diadakan pameran pelancongan dari agensi-agensi kerajaan serta gerai makan dari setiap negeri disamping persembahan kebudayaan dan bunga api. Kami sempat juga merasakan sate Hj. Samuri dari Kajang mewakili negeri Selangor, Kuey Tiau dari Pulau Pinang dan makanan dari Brunei. Walaupun harganya agak tinggi sedikit berbanding harga biasa, tapi dek kerana nak rasa tu, beli jugalah. Jemputlah datang ke Langkawi. Program berlangsung dari 5 - 10 Disember 2011. Hari jumaat dan sabtu ni nak pi tengok pameran kapal terbang dan kapal laut pula......

Sunday, December 4, 2011

LIMA 2011

LIMA 2011 akan tiba tak beberapa hari lagi. Suasana di Langkawi kini amat sibuk. Langkawi telah mula dibanjiri oleh pelancong sama ada dari luar atau dalam negara. Bermula 6 Disember 2011 sehingga 10 Disember 2011 ruang udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi akan mula bergegar dengan pelbagai jenis pesawat udara termasuk pesawat tempur, pesawat pengangkut dan sebagainya. Di kawasan pekan Kuah, persiapan terakhir sedang dijalankan. Suasana malam agak gemerlapan dengan lampu-lampu neon yang dipasang di sepanjang jalan. Di tempat letak kereta LADA pula persiapan untuk pameran dan aktiviti oleh Kementerian Pelancongan sedang dilaksana. Banyak khemah-khemah dan gerai-gerai dipasang untuk aktiviti selama 5 hari ini. Pendek kata suasana di Langkawi amat meriah sekali. Datanglah beramai-ramai untuk menyaksikan LIMA 2011 yang diadakan setiap 2 tahun sekali ini. Datang jangan tak datang. Rugi kalau tak datang tau. (Gambar-gambar akan dimuat naik nanti - tungguuuu)

Monday, November 21, 2011

Alhamdulillah - Amirul UPSR 5A

Dah seminggu aku dan isteri tak dapat tidur lena bila mengenangkan keputusan peperiksaan UPSR yang bakal diumumkan pada 17.11.2011. Bimbang kalau-kalau Amirul tidak dapat mencapai 'target' 5A sebagaimana yang diharapkan oleh kami dan pihak sekolah. Tapi aku lihat Amirul rilex saja. Tarikh yang ditunggu-tunggu telahpun tiba, dan jam di dinding telah menunjukkan pukul 10 pagi. Tapi aku masih belum terima panggilan dari Amirul. Lebih kurang jam 10.40 pagi barulah aku menerima mesej daripada Amirul meminta supaya datang ke sekolah kerana keputusan telahpun ditampal di papan kenyataan. Kami bergegas ke sekolah. Setelah sampai di lobi sekolah, aku terus ke papan kenyataan. Gembira hati tidak terkira apabila Amirul telah disenaraikan mendapat keputusan 5A dalam UPSR tahun 2011, dan sekaligus dapat mengikut jejak kakak dan abangnya. Alhamdulillah syukur kepada Mu Ya Allah dan terima kasih kepada guru besar dan semua guru-guru SK Sungai Menghulu yang telah mendidik anak kami sehingga berjaya.




Tuesday, October 4, 2011