Tuesday, January 10, 2012

Catatan Perjalanan - Cuti-Cuti Hujung Tahun

Dek kesibukan tugas yang teramat sangat pada penghujung tahun 2011 lepas, maka tak sempat untuk kami bercuti makan angin. Cadangan awal untuk ke Pulau Pinang dan Cameron Highland tidak kesampaian. Lebih sebulan anak-anak bercuti sekolah hanya berada di rumah sahaja, boleh dikatakan setiap hari keluar dari mulut anak-anak perkataan 'boringggg', lebih-lebih lagi Aliff. Alhamdulillah selepas Krismas, ada sedikit ruang untuk kami sekeluarga pergi bercuti. Ini adalah hadiah kepada anak-anak setelah penat belajar dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang lepas. Adila dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti, Amirul mendapat 5A dalam UPSR dan terkini Asyraf mendapat 8A dalam PMR. Syukur Alhamdulillah. Kebetulan pada hari krismas tersebut adik aku yang tinggal di Tikam Batu, Sungai Petani telah mengadakan majlis pernikahan anak sulungnya. Ini adalah pernikahan anak saudara ku yang pertama. Semua adik beradik aku seramai 9 beradik dan juga ibu tersayang dapat berkumpul untuk majlis ini. Bulan Februari nanti InsyaAllah kami akan berkumpul lagi di sini kerana menghadiri kenduri perkahwinan mereka pula.



Era bersama suami dan keluarga. Selamat Pengantin baru.


26.12.2011 - Ke Kuala Kedah untuk mengambil kereta yang tidak dapat diambil pada 25.12.2011 kerana cuti perayaan krismas, mereka tutup la. Tersadai kereta aku 2 hari di Kuala Kedah. Mujur Teh Mimie bagi pinjam keretanya untuk pergerakan kami di Sungai Petani. Thanks Teh dan terima kasih juga kepada adik ipar Che Oom kerana menjemput kami di Kuala Kedah. Selepas ambil kereta, kami sekeluarga bertolak ke Pulau Pinang dari rumah Mok Nik. Terima kasih Mok Nik dan Che Oom kerana bagi kami tumpang di rumah untuk 2 malam.



Akhirnya tercapai juga hajat kami nak ke Pulau Pinang. Tujuan utamanya ialah nak pi beli jeruk dan makan nasi kandaq. Setelah beberapa kilo makan 'buah langsat', akhirnya kami berjumpa juga dengan tempat yang hendak ditujui iaitu Pasar Chowrasta dan Line Clear.



Inilah kedai kami beli jeruk. Sebelah pasar Chowrasta.



Nasi Kandar Line Clear. Terpaksa beratur hampir 20 minit, baru boleh makan.



Selesai saja beli jeruk dan makan nasi kandar, kami teruskan perjalanan melalui Lebuhraya Utara - Selatan untuk ke destinasi kedua iaitu Cameron Highland. Kami berhenti rehat di R & R Sungai Perak setelah hari sudah gelap. Berhenti untuk sembahyang, mandi dan makan. Kami buat keputusan untuk bermalam saja di sini kerana takut juga nak drive pada waktu malam. Maka tidurlah kami 6 beranak dalam kereta. Kami ingatkan kami saja yang tidur di situ, rupa-rupanya ramai lagi. Jadi kami tak keseorangan lah.


Di sinilah kami sekeluarga seramai 6 orang bermalam. Tidur dalam kereta je. Buka kami sekeluarga je. Ramai lagi......


27.12.2011 - Setelah mandi dan sembahyang subuh, kami teruskan perjalanan ke CH melalui Simpang Pulai. Sebenarnya jalan ni adalah pertama kali kami lalui. Lebih kurang jam 9.00 pagi kami tiba di CH dan bersarapan di Berincang. Selesai bersarapan, kami berpatah balik ke Pasar Kea Farm untuk beli belah. Apa yang kami beli - sayuran, strawberry, jus strawberry dan sedikit cenderamata. Memandangkan hari hujan, kami teruskan perjalanan ke Gua Musang untuk mencari jalan alternatif ke Kuala Berang melalui Tasik Kenyir. Jalan yang belum pernah kami lalui yang dikatakan dekat untuk ke Kuala Berang.



Strawberry oh Strawberry



Setelah beberapa jam perjalanan, kami tiba di R & R Gua Musang dan berhenti untuk sembahyang dan makan. Selesai makan, kami teruskan perjalanan dan tiba di jalan alternatif yang kami cari iaitu Gua Musang - Kuala Berang. Jalannya agak cantik dan seronok memandu dijalan ini memandangkan tidak banyak kenderaan. Tetapi setelah tiba di Felda Aring, tiba-tiba jalan menjadi teruk. Tak kuasa nak cerita, tengok sendirilah gambar di bawah ini. Mungkin dalam lingkungan 20 km aku terpaksa memandu melalui jalan seperti ini.



Jalan di Felda Aring.


Tetapi setelah masuk kawasan Hulu Terengganu, jalan bertukar elok semula. Walaupun terdapat beberapa tempat didapati jalan runtuh, tetapi telah dibaiki dan dibuat lencongan. Perjalanan pada 27.12.2011 selesai setelah kami tiba di rumah ku di Kuala Berang hampir jam 8.30 malam.



Pemandangan indah Tasik Kenyir


Lagi gambar klik sini.

3 comments:

my little family / kaftanbatik said...

no hal la... lain kali singgah la lagi..ngeh2.. sowi klu bilik panas sket..'aircond' rosak.. :p

http://rlizai.blogspot.com said...

InsyaAllah 3 Februari nanti datang lagi....

En.Razif said...

hee... lepas jgn lupa pi Muzium Time Tunnel dan singgah minum di Sg.Palas Tea House.